Khamis, Jun 11, 2009

hujah sesat SIS wanita boleh mengimami solat jumaat

dipetik dari laman web SISter iN iSLAm(penghancur agama islam)

copy paate ke laman lain unutk melihat
http://www.sistersinislam.org.my/index.php?option=com_content&task=view&id=440&Itemid=194


Pelbagai reaksi dan pandangan telah diberikan terhadap peristiwa Amina Wadud yang merupakan seorang professor pengajian Islam dan juga ahli teologi, yang mengimami solat jamaah yang terdiri dari lelaki dan perempuan di New York pada 18 Mac 2005. Perbincangan terbuka yang sihat ini merupakan suatu petanda yang baik bagi umat Islam umumnya, dan masyarakat Islam di Malaysia khasnya, kerana bukan sahaja ahli-ahli agama memberi pandangan mereka, malah ahli-ahli masyarakat umum juga merasa selesa untuk mengutarakan pendapat masing-masing. Secara tidak langsung perbincangan sebegini memberi gambaran mengenai persepsi dan pemahaman dunia masyarakat Islam di abad ke 21 ini berkenaan isu perempuan.

Walaupun ada sesetengah yang menyokong konsep imam perempuan bagi jamaah yang makmumnya terdiri dari lelaki dan perempuan, namun banyak sekali pendapat yang menentangnya. Bolehlah dirumuskan bahawa antara hujah-hujah popular yang menentang perkara ini adalah:

-Agama Islam mengharamkannya
-Sesungguhnya tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia Islam
-Kesemua ulama bersepakat menolak konsep ini
-Lelaki yang menjadi makmum imam perempuan tidak akan khusyuk sembahyang kerana boleh merangsang nafsu syahwatnya
-Tindakan Professor Amina itu hanya menimbulkan kontroversi yang tidak perlu kerana banyak lagi perkara yang lebih mendesak untuk difikirkan oleh umat Islam
-Orang perempuan Islam tidak perlu menjadi seperti feminis barat yang mahu bertanding dengan lelaki dari semua segi

Banyak perkara yang harus diperbincangkan mengenai perkara ini, tetapi memandangkan ruang yang terhad, cukuplah sekadar kita mengulas hujah-hujah di atas:

1. Adakah konsep perempuan mengimami solat jamaah yang terdiri lelaki dan perempuan itu bertentangan dengan Al-Qur'an dan Sunnah serta tidak pernah berlaku langsung dalam sejarah Islam?

-Yang nyata, tiada ayat Al-Qur'an yang melarang perempuan menjadi imam solat yang jamaahnya terdiri dari lelaki dan perempuan. Kesemua ulama klasik dan ulama masakini secara majoritinya bersetuju tentang perkara ini.

-Yang menjadi titik perbezaan pendapat adalah dari sumber hadith, khususnya :

- Terdapat hadith yang meriwayatkan Nabi Muhammad s.a.w. telah melantik seorang perempuan Ansar bernama Ummu Waraqah binti Abdullah, untuk mengimamkan solat yang jamaahnya terdiri dari lelaki dan perempuan. (hadith ini telah dicatat dalam kitab Sunan Abu Daud, Musnad Imam Ahmad ibn Hanbal, al-Hakim, ibnu al-Jarud, ibn Khuzaimah, al-Bayhaqi, al-Tabarani dan al-Daraqutni)

- Sesetengah ulama yang mengambil pendirian melarang perempuan menjadi imam sembahyang menyandarkan pendapat mereka pada hadith yand diriwayatkan oleh Ibnu Majah yang bersumber dari Jabir yang maksudnya : "Janganlah sekali-kali perempuan mengimami lelaki, Arab Badui mengimami Muhajjir dan orang berdosa mengimami mukmin yang baik". Sesungguhnya Imam Nawawi telah menggolongkan hadith ini sebagai hadith dha'if ataupun lemah dan tidak boleh dipakai.

Dalam sejarah Islam juga telah tercatat bahawa:

- Pada tahun 699M/77H, seorang perempuan Khawarij bernama Ghazala juga pernah menjadi imam solat kepada askar-askar lelaki di Kufa dan telah membaca dua surah terpanjang dalam solat tersebut. Ada beberapa ulama klasik yang enggan mengikitiraf peristiwa ini dengan alasan Ghazala dari kaum Khawarij. Namun, haruslah diingat bahawa Khawarij dianggap pelampau kerana mereka terlalu berpegang pada ajaran Al-Qur'an secara harfiah dan enggan berijtihad dalam penafsiran agama, dan bukan kerana mereka tidak percaya Al-Qur'an dan sunnah Nabi. (sila rujuk al-Tabari, kitab Tarikh al-Rusul wa'l Muluk, Kaherah, Bab 51 ms 80, Abu al Hassan Ali Masudi (Muruj al-Thahab, Dar al-Andalus, Beirut 1965, bab 3 ms 139)

- Khalifah Walid II dari Bani Umayyah telah mewatikahkan serban baginda kepada seorang perempuan di masjid Damsyik dan menitahkan perempuan itu untuk mengimamkan sembahyang Jumaat. Kisah ini tersebut dalam sejarah Damsyik dan telah dipetik oleh beberapa ulama Islam. (Justice Syed Ameer Ali, Short History of Saraceans Page No. 196).

Maka, ternyata sejarah imam perempuan ini memang telah berlaku dan tercatat dalam dunia Islam hanya ia tidak pernah diketengahkan atau dihebahkan.

2. Benarkah kesemua ulama muktabar bersepakat tidak membenarkan perempuan menjadi imam kepada jamaah lelaki dan perempuan?

Adalah tidak benar sama sekali tanggapan yang mengatakan kesemua ulama muktabar bersepakat mengatakan perempuan tidak boleh menjadi imam sembahyang lelaki dan perempuan.

Antara ulama-ulama yang menerima konsep perempuan mengimamkan jamaah lelaki dan perempuan termasuklah Imam Ibnu Jarir al-Thabari (seorang mujtahid terkenal), Abu Thawr Ibrahim ibnu Khalid ibnu Abi al-Yaman al-Kalbi, Abu Isma'il ibnu Yahya al-Mazeni yang semuanya pengikut mazhab Shafi'e , Ibnu Arabi (mazhab Zahiri), Ibnu Taimiyah dan Imam Hanbali.

Ada antara ulama-ulama tersebut, seperti Imam Hanbali, hanya membenarkan perempuan menjadi imam sembahyang bagi jemaah lelaki dan perempuan untuk sembahyang tarawih sahaja. Namun, apa yang nyata, ia tetap membuktikan bahawa Islam (melalui Al-Qur'an dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w) tidak menolak konsep perempuan menjadi imam solat jamaah lelaki dan perempuan.

Sesetengah ulama seperti Ibnu Taymiyyah, hanya meletakkan syarat bahawa imam perempuan itu hendaklah fasih Al-Qur'an, tetapi syarat sedemikian juga digunapakai untuk imam lelaki. Yang jelas, faktor jantina perempuan itu sendiri tidak dipertikaikan, tetapi yang menjadi faktor adalah samada perempuan itu berilmu atau tidak. Maka telah terbukti ada ulama Islam yang boleh menerima konsep perempuan menjadi imam sembahyang kepada jamaah yang terdiri dari lelaki dan perempuan.

3. Begitu mudahkah makmum lelaki terangsang nafsunya dan hilang khusyuk jika berimamkan seorang perempuan?

Hujah yang mengatakan kaum lelaki akan terdorong nafsu lalu tidak khusyu' sembahyang jika perempuan yang mengimamkan sembahyang mungkin merupakan hujah yang paling popular sekali.

Kaum lelaki, terutamanya para Muslimin, tentunya dan seharusnya merasa terhina dengan tuduhan sebegini kerana seolah-olah mereka adalah haiwan yang langusung tidak dapat mengawal nafsunya. Sekiranya para Muslimah masih boleh khusyu' sembahyangnya walau berimamkan orang lelaki, mengapa pula orang lelaki dianggap begitu rapuh dan goyah sekali imannya? Sesungguhnya kaum perempuan juga mempunyai nafsu dan Al-Qur'an sendiri menceritakan bagaimana ramai perempuan termasuk Zulaikha begitu tergoda dengan ketampanan Nabi Yusuf a.s. sehingga lupa diri.

Jika kita renungkan, jamaah haji bersembahyang bercampur lelaki dan perempuan malah ada kalanya bersentuh bahu akibat ruang yang sesak, namun tiada yang gusar yang mereka tidak boleh khusyu' semasa sembahyang atau semasa mengerjakan ibadah haji.

Dalam hal solat jamaah yang diimami oleh Aminah Wadud itu sendiri, kesemua makmum lelakinya tiada membuat sebarang aduan mengatakan mereka tidak dapat khusyu' dan nafsu mereka timbul akibat berimamkan perempuan. Sejarah juga menceritakan bagaimana Sayidina Umar r.a. tidak sedar anak panah yang terbenam di kakinya telah ditarik keluar ketika beliau khusyu' mengerjakan solat. Adapun khusyu'nya solat itu bermula dari hati yang bersih dan penumpuan dalam ibadah.

4. Benarkah tindakan Professor Amina itu hanya menimbulkan kontroversi yang tidak perlu kerana banyak lagi perkara yang lebih mendesak untuk difikirkan oleh umat Islam?

Isu ini mungkin tidak jadi kontroversi sekiranya masyarakat Islam bersedia mengkaji peristiwa ini dengan tenang dan rasional. Alangkah baiknya jika tindakan Profesor Amina itu dijadikan asas perbincangan ke arah meneroka ruang ilmu ajaran dan dunia Islam.

Harus kita renung - mengapakah peristiwa seorang imam perempuan yang dipersetujui oleh makmumnya yang juga hampir separuh terdiri dari orang lelaki dewasa, menimbulkan kontroversi, kemarahan dan kebencian masyarakat Islam sedunia? Mengapakah isu-isu ketidakadilan dan penindasan tidak menerima reaksi yang sama hebat dari masyarakat Islam? Tiga tahun lalu iaitu pada 2002, dunia dikejutkan dengan peristiwa zalim 'polis agama' Arab Saudi yang menghalang 15 penuntut perempuan dari lari meninggalkan bangunan asrama dan seterusnya membiarkan mereka semua mati terbakar, hanya dengan alasan pelajar-pelajar perempuan itu tidak mengenakan hijab dengan sempurna.

Di Pakistan pada tahun 1983 pula, Safia Bibi seorang perempuan buta berumur 13 tahun telah diperkosa oleh majikan dan anak lelaki majikannya. Oleh kerana dia buta dan tidak dapat mengenalpasti perogolnya, maka dia sendiri dijatuhkan hukuman sebat kerana kehamilannya dijadikan bukti zina. Safia Bibi hanya dibebaskan atas usaha kumpulan wanita dan pejuang hak asasi manusia (yang dikatakan sekular). Hingga ke hari ini juga kaum perempuan di Arab Saudi tidak diberi hak mengundi dan dilarang memandu kereta. Ketidakadilan yang ketara, kejam dan menyedihkan ini juga gagal membangkitkan simpati, kemarahan dan protes di kalangan umat Islam seluruh dunia. Astaghafirullah.

Apabila kita perhatikan reaksi dunia Islam terhadap tindakan Amina ini, maka jelas terserlah tahap pemikiran, kematangan dan penerimaan masyarakat Islam. Banyak reaksi lebih bersifat keras dan emosi dari bersikap rasional dan penyayang. Kadangkala kita lihat sikap prejudis lebih menebal dari sikap hendak menyelami kebenaran dan berusaha menangani isu dengan lebih bijaksana.

Apalah gunanya umat Islam mendabik dada berbangga tentang zaman kegemilangan Islam sekiranya di waktu yang sama, kita sendiri bertindak menyempitkan dan mengekang warisan gemilang ini.

Apa yang pasti, konsep imam perempuan bagi jamaah lelaki dan perempuan ini memang telah wujud dalam sejarah Islam dan bukannya tercetus hasil apa yang dihebohkan sebagai pengaruh gerakan feminis barat. Masyarakat Islam tidak harus mengambil sikap tertutup seolah-olah tidak ada ruang lagi dalam Islam untuk mempertimbangkannya. Kita semua sesungguhnya bertanggungjawab menyambung dan merealitikan amanah perjuangan Nabi s.a.w yang memartabatkan hak-hak dan kedudukan kaum perempuan.

Wallahu a'lam

Sisters In Islam

4 ulasan:

  1. Rasulullah bersabda: 'Sebaik-baik saf bagi lelaki ialah saf yang pertama dan seburuk-buruknya saf yang terakhir manakala sebaik-baik saf bagi wanita ialah saf yang paling belakang dan seburuk-buruknya adalah saf yang pertama.' -(Riwayat: Muslim).

    BalasPadam
  2. Firman Allah swt di dalam surah al-Hujuraat ayat 6 yang bermaksud: 'Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan'.

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum...

    Sememangnya dlm sejarah islam tidak ada masalah sekiranya seorang perempuan mengimami solat dengan alasan tertentu. Tapi blehkah saudara berikan sumber ataupn hadith2 yang menyatakan seorang wanita bleh mengimami sembhyg jumaat dgn bermakmumkan lelaki..

    wasalam

    BalasPadam
  4. Meskipun tiada ayat Al-Qur'an yang melarang perempuan menjadi imam solat yang jemaahnya terdiri dari lelaki dan perempuan tetapi terdapat hadith-hadith Rasulullah S.A.W yang melarang perbuatan tersebut antaranya dalam riwayat Ibn Majah, Rasulullah S.A.W bersabda:
    ((لاَتَؤُمَنَّ المَرْأَةُ رَجُلاً))
    Bermaksud: Hendaknya tidak sekali-kali wanita menjadi imam bagi seorang lelaki.
    Dalam hal ini, kebarangkalian SIS hanya berhujahkan kepada satu hadith yang mengharuskan imam wanita bagi makmum terdiri daripada lelaki tanpa melihat kepada hadith-hadith yang lainnya sebagaimana mereka berpegang kepada hadith Ummu Waraqah, yang menyatakan:
    ((وَأَذِنَ لَهَا أَنْ تَؤُمَّ أَهْلَ دَارِهَا))
    Bermaksud: Dan beliau (Nabi saw) mengizinkannya untuk menjadi imam bagi penghuni rumahnya. (H.R.Abu Dawud).
    Hadith yang bersifat umum ini digunakan oleh SIS untuk menyokong idea mereka tanpa melihat kepada riwayat yang lain. Sedangkan terdapat hadith lain dengan periwatannya yang lebih kurang sama menyatakan:
    ((وَأَذِنَ لَهَا أَنْ تَؤُمَّ نِسَاءَ أَهْلِ دَارِهَا))
    Bermaksud: Dan beliau (Nabi saw) mengizinkannya untuk menjadi imam bagi kaum wanita penghuni rumahnya. (H.R. ad-Daruquthni).
    Hadith ini menegaskan bahawa keizinan yang diberikan oleh Rasulullah kepada Ummu Salamah untuk menjadi imam hanyalah terbatas kepada ma’mum jemaah wanita sahaja.

    BalasPadam

setiap artikel,hal ehwal semasa atau apa apa yang tertulis disini berdasarkan sumber yang sahih..saya mengalu-alukan kritikan,cadangan atau komen anda


visitor maps-negara pengunjung blog saya