Jumaat, Januari 09, 2009

PM: Pastikan Israel dihalau dari Gaza

KUALA LUMPUR 8 Jan. – Sebarang resolusi oleh Perhimpunan Agung Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam sidang khasnya esok (kira-kira 5.30 pagi waktu Malaysia) di New York, perlu memastikan Israel dipaksa keluar dari Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Amerika Syarikat (AS) tidak harus menghalang sebarang usul bakal menyentuh Israel yang telah menyerang Semenanjung Gaza sejak 27 Disember lepas kerana ia adalah kehendak masyarakat dunia.

Beliau berkata, dalam hubungan ini, Malaysia akan terlibat dalam mendraf usul tersebut kerana menjadi tradisi negara yang mengusulkan diadakan perhimpunan agung khas itu, mendapat keistimewaan tersebut.

“Usul itu nanti perlu memastikan Israel dihalau keluar dari Semenanjung Gaza dan jangan sekali-sekali hanya mensyaratkan Hamas untuk tidak menyerang Israel.

“Apabila perkara-perkara ini diterima, barulah gencatan senjata dapat dilaksanakan dengan jayanya bagi memastikan keamanan di Palestin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kampus utama Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negara (IDFR) di sini hari ini.

Semalam, Presiden Perhimpunan Agung Khas PBB, Miguel D'Escoto dari Nicaragua telah meluluskan permohonan dari Malaysia dan Brazil untuk mengadakan perhimpunan agung khas di bawah Resolusi 377 mengenai Palestin.

Surat untuk mengadakan perhimpunan agung khas itu telah diedarkan kepada semua wakil tetap negara-negara anggota PBB yang akan diadakan pada 5.30 petang waktu New York hari ini (waktu Malaysia 5.30 pagi esok).

Abdullah menegaskan, sekatan terhadap Israel termasuk sekatan ekonomi perlu diputuskan oleh PBB memandangkan tindakan negara Zionis itu melakukan kekejaman di Palestin tidak boleh diterima.

Katanya, Malaysia juga berpendirian bahawa Palestin tidak boleh dipecahkan kepada dua iaitu Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.

“Kewujudan Palestin sebagai sebuah negara juga perlu diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa dengan sempadan ditetapkan di antara Palestin dan Israel,” katanya.
Beliau menambah, masalah yang dihadapi sekarang ialah Israel hanya mematuhi apa yang diarahkan oleh AS dan berharap negara itu tidak akan menghalang sebarang usul keras terhadap rejim Zionis tersebut

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

setiap artikel,hal ehwal semasa atau apa apa yang tertulis disini berdasarkan sumber yang sahih..saya mengalu-alukan kritikan,cadangan atau komen anda


visitor maps-negara pengunjung blog saya